ZAZALI JAMIAN | 21 Januari 2015 12:42 AM
KUALA LUMPUR – Datuk Zaiton Othman memahat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pesuruhjaya Sukan, malah menjadi bekas atlet pertama menduduki jawatan berkenaan.
Zaiton yang ketika ini memegang jawatan Pengarah Bahagian Organisasi dan Hal Ehwal Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Ahmad Shapawi Ismail bermula pada 1 Februari ini. Pelantikan tersebut diumumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin semalam.
Pernah dikenali sebagai ‘wanita besi’ negara kerana kehebatannya dalam acara heptatlon sekitar 1980-an, Zaiton mengakui tanggungjawab sebagai Pesuruhjaya Sukan amat besar, namun beliau berazam untuk tidak mempersiakan kepercayaan yang diberikan oleh Khairy.
Malah, Zaiton juga amat berterima kasih kepada Khairy kerana memberi kepercayaan kepada wanita untuk mengetuai salah satu pentadbiran dalam Kementerian Belia dan Sukan.
“Saya percaya semua tanggungjawab ini dapat dilaksanakan dengan baik sekiranya mempunyai keghairahan untuk melaksanakannya dengan baik.
“Malah saya harap apabila menggalas tugas itu nanti, semua keputusan dapat dibuat secara bersama, sekali gus dapat memudahkan semua perjalanan kerja,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.
Sementara itu, Khairy dalam kenyataannya berkata, pelantikan Zaiton dibuat bagi menggantikan kekosongan Ahmad Shapawi yang kini mengalas tugas sebagai Ketua Pengarah MSN.
“Dengan pelantikan ini, Datuk Zaiton, 55, merupakan wanita dan bekas atlet pertama menyandang jawatan Pesuruhjaya Sukan.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Zaiton dan berharap beliau dapat menggalas tugas baharu itu dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi,” katanya dalam kenyataan itu.
Zaiton yang berasal dari Kepala Batas, Pulau Pinang adalah ratu dalam acara heptatlon dan 400 meter sekitar 1980-an, malah beliau masih memegang rekod kebangsaan dalam acara heptatlon yang dilakukan pada Sukan SEA Manila 1981.
Ketika Sukan SEA 1981, beliau memenangi tiga pingat emas. Kecemerlangan yang diraih membolehkannya menerima anugerah Olahragawati Kebangsaan setahun kemudian.
Beliau memegang ijazah sarjana muda Pendidikan Fizikal dari Universiti Pertanian Malaysia dan ijazah sarjana dalam Psikologi Sukan dari Universiti San Diego State, California, Amerika Syarikat.
Zaiton juga pernah menjadi guru sebelum memulakan perkhidmatan beliau di MSN sebagai pegawai sukan pada September 1989 dan berkhidmat sebagai Pegawai Psikologi Sukan di Institut Sukan Negara dari tahun 1992 hingga 2000 sebelum kembali ke MSN.
– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/zaiton-pesuruhjaya-sukan-wanita-pertama-1.50293#sthash.zUCYelaV.dpuf