“Memang sedih, tetapi apa yang berlaku hanya membuatkan saya bersemangat untuk berlari de­ngan lebih pantas.”

Itu respons pelari pecut negara, Badrul Hisyam Abdul Manap selepas rekod 100 meter kebangsaan yang dilakukan pada Sukan Sekolah Asean (ASG) 2015 di Brunei, November lalu dikatakan tidak sah.

Kata Badrul, apa yang berlaku membuatkannya lebih bersemangat untuk terus berlari lebih pantas pada musim 2016.

“Buat masa ini jurulatih tidak membenarkan saya mengulas lebih lanjut perkara tersebut selagi belum ada apa-apa pengesahan tetapi semasa acara tersebut berlangsung memang saya dapat lihat alat pe­ngukur angin yang sepatutnya dile­takkan di tepi lorong satu telah dile­takkan di lorong lapan.

“Memang ada sedikit rasa sedih dengan apa yang berlaku, namun saya terima dan saya juga tidak mahu terlalu memikirkannya bimbang boleh mengganggu fokus saya semasa latihan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Pada 23 November lalu, Badrul mencipta sejarah apabila meme­cah rekod 100m kebangsaan dalam ASG 2015 selepas mencatat kepantasan 10.29 saat.

Catatan tersebut memadam rekod berusia 17 tahun, 10.30s yang dipegang oleh Watson Nyambek.

Sementara itu, Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengakui, sudah menerima surat penjelasan daripada Persatuan Olahraga Brunei (BAA) yang mengakui melakukan kesilapan dalam perlumbaan akhir 100m .

Presidennya, Datuk Karim Ibrahim berkata, beliau bagaimanapun perlu menunggu laporan penuh daripada pihak penganjur ASG 2015 dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum apa-apa keputusan berhubung status rekod dilakukan oleh Badrul.

Kata Karim, pegawai penganjur tersebut telah memaklumkan kepada KOM bahawa mereka tersilap meletakkan alat pengukur angin di tempat yang betul seperti yang ditetapkan dalam peraturan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

“Kami masih menunggu laporan penuh daripada penganjur dan pihak KPM. Sebaik saja mendapat laporan tersebut, satu mesyuarat majlis akan diadakan untuk membincangkan mengenai status rekod yang dicipta Badrul.

“Sewajarnya pihak KPM perlu bertanggungjawab dan memberikan penjelasan berhubung perkara tersebut kerana hanya pegawai mereka yang berada di sana (ASG).

“Mereka tidak langsung berhubung dengan KOM untuk memaklumkan mengenai penyertaan atlet mereka dalam kejohanan tersebut, tetapi selepas semua ini berlaku KOM pula seperti pihak yang dipersalahkan.

“Sekarang, KOM pula yang kena tampil untuk mencerahkan kea­daan,” kata Karim