Olahraga tidak gagal – Utusan Online

Oleh ZAZALI JAMIAN
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) menegaskan, mereka masih belum gagal pada Sukan SEA 2013 di Myanmar biarpun tidak mencapai sasaran yang telah ditetapkan.

Pada Temasya Myanmar, olahraga hanya mampu membawa pulang empat pingat emas berbanding lima yang disasarkan oleh badan induk sukan olahraga tersebut.

Presiden KOM, Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, kegagalan atau kejayaan tidak boleh diukur sekadar menerusi pingat emas yang diraih tetapi perlu dinilai secara keseluruhan termasuk pencapaian atlet muda olahraga.

Kata Zainal, sungguhpun KOM tidak mencapai sasaran namun penyertaan atlet muda olahraga yang kali pertama beraksi pada pentas Sukan SEA dengan membawa pulang pingat adalah satu kejayaan yang wajar dibanggakan.

“Saya tidak anggap olahraga gagal secara keseluruhannya hanya kerana kami tidak mencapai sasaran tetapi di sebalik semua itu kami telah berjaya melahirkan atlet yang berpotensi melangkah lebih jauh terutama untuk menghadapi Sukan SEA 2015.

“Malah, saya dapat lihat ada atlet muda olahraga sudah berupaya meraih pingat emas selain mempamerkan prestasi cemerlang berbanding atlet senior,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.