Source: Olahraga mula hantar 22 atlet ke luar negara – Sukan – Utusan Online
KUALA LUMPUR 2 Feb. – Persekutuan Olahraga Malaysia (MAF) mengesahkan bakal melakukan penghantaran besar-besaran atlet untuk menjalani latihan dan pendedahan di luar negara dalam tempoh terdekat sebagai tanda bermulanya persiapan fasa kedua ke Sukan SEA 2017.
![]() |
Karim Ibrahim
|
Jumlah itu bagaimanapun tidak termasuk sekumpulan atlet lagi yang sedang dinilai permohonan mereka untuk berlatih di luar negara berikutan MAF masih mengkajinya mengikut keperluan dan kos.
Presiden MAF, Datuk Karim Ibrahim berkata, sebanyak 22 atlet di bawah Program Kita Juara telah dikenal pasti dan diluluskan pemergian mereka ke empat negara yang telah ditetapkan iaitu Australia, Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Afrika Selatan.
“Kesemua atlet yang terpilih akan berada di negara-negara tersebut selama antara 29 hari hingga dua bulan mengikut keperluan latihan sambil menyertai pertandingan bertaraf dunia di sana.
“Mereka diarah kembali semula sebelum bermulanya Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia mungkin pada Mei kerana setiap atlet diwajibkan untuk mengambil bahagian di situ sebagai medan pemilihan terakhir sebelum kita mengumumkan atlet yang terpilih ke Sukan SEA dan seterusnya memulakan fasa ketiga persiapan,” kata Karim.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Larian Hari Wilayah Persekutuan 2017 di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di sini hari ini. Larian yang mempertandingkan lapan kategori itu dijadual diadakan pada 26 Februari ini dengan menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM10,200.
Mengulas lanjut, Karim berkata, sebaik sahaja selesai persiapan fasa kedua itu, pihaknya mempunyai rancangan lebih besar untuk atlet yang terpilih mewakili negara ke Sukan SEA pada fasa ketiga dan terakhir apabila MAF merancang untuk menghantar atlet sekali lagi ke luar negara.
“Kali ini kita bercadang untuk hantar atlet ke Eropah pula. Tetapi atlet yang pergi ini perlu melepasi had kelayakan pingat perak pada Sukan SEA 2015 lalu untuk dihantar ke sana.
“Mana-mana acara yang tiada atlet melepasi had kelayakan tersebut, kita akan pertimbangkan sekurang-kurangnya dua atlet yang hampir dengan had kelayakan itu untuk disenaraikan bertanding di Sukan SEA dan berlatih di Eropah,” tegas Karim.
– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/olahraga-mula-hantar-22-atlet-ke-luar-negara-1.439610#sthash.kgJyqkxN.dpuf