myMetro | ‘Luke’ pantas di padang

myMetro | ‘Luke’ pantas di padang.

Oleh Esme Johari Wahab

Alor Setar: Atlet Pahang, Luqmanul Hakim Khairul Akmal memecahkan dua rekod larian jarak pertengahan dalam laluan memenangi pingat emas acara 400m dan 800m kategori L15 pada Kejohanan Olahraga dan Balapan MSSM Kedah 2014.

Dalam aksi menarik di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam, pelajar Sekolah Sukan Malaysia Pahang di Gambang, mencatat rekod baru 400m dengan catatan 49.79s sekali gus memecahkan rekod berusia dua tahun, 50.06s milik pelari Kedah, Cheah Yau Chung di MSSM Perlis 2012.

Biarpun memiliki susuk fizikal lebih kecil berbanding pencabarnya, Luqman atau digelar ‘Luke’ mempamer kepantasan tersendiri sejak garis permulaan untuk mengatasi musuh tradisi dari Kedah, Mohd Afiq Ikmal Ramali yang meraih perak dengan 50.545s.

Gangsa milik Mohamad Aidil Amin Ahmad Shah dari Selangor (51.28s).

Luqman turut memecahkan rekod lama acara 800m MSSM Kuala Lumpur 2009 dilakukan pelari Kedah, Tan Wei Heng, 2:00.68s dengan memperbaharui rekod setengah batu itu dengan catatan 1:59.70s, menewaskan pelari Negeri Sembilan, Devin Roy Vincent dan Mohd Afiq Ikmal Ramali dari Kedah.

“Kunci utama kejayaan ini adalah disiplin.

Saya bertuah kerana ditemani ibu bapa sepanjang lima hari bersaing di sini.
Saya bangga kerana usaha keras meraih berlatih gigih sejak dua tahun lalu memberikan dua emas buat Pahang.

“Paling penting saya dapat mempertahankan status juara bertahan 400m selepas menang acara sama di MSSM Kuantan tahun lalu.
Saya rasa tidak percaya kerana dapat dua kali mengatasi pencabar utama, Mohd Afiq dalam acara 400m dan 800m.

“Harapan selepas ini, cuba mencari emas ketiga dalam 4x100m bersama kuartet kami.

Jika mencapainya, ia akan menjadi kejayaan terbaik saya dalam MSSM kerana saya mensasarkan dua emas,” katanya.

Kejayaan itu membolehkan kontinjen olahraga Pahang mengumpul empat emas setakat ini selepas Mior Muhammad Amerul Mohd Sahak mengungguli acara 10,000m jalan kaki L18 dan Chin Poh Kuan, lontar peluru P18.