myMetro | Hafizzudin raja pecut

myMetro | Hafizzudin raja pecut

Atlet serba boleh Muhammad Hafizzudin Abdul Aziz menceriakan kontinjen Kedah apabila memenangi pingat emas acara riben biru 100m L18 pada Kejohanan Olahraga MSSM 2014 di Stadium Darulaman semalam.

Pelari berusia 17 tahun itu, yang juga pemain pertahanan pasukan bola sepak Daerah Kota Setar mencatat masa 11.04 saat, mengatasi pelari pilihan dari Melaka yang juga juara MSSM L15 tahun lalu, Asnawi Hashim yang meraih pingat perak, merakam 11.07s sementara Tonga Jody Edmund (Sabah) mencatat 11.09s untuk pingat gangsa.

“Saya berlepas dengan agak perlahan pada permulaan tapi dapat bangkit memecut pada pertengahan untuk memintas Asnawi dan Tonga dan mengekalkan mo mentum hingga ke garis penamat.

Saya gembira kerana inilah kali pertama saya bersaing pada MSSM selepas dua kali dipujuk guru sukan.

“Meskipun mendengar cerita beberapa atlet lain memiliki catatan lebih pantas sebelum datang ke kejohanan ini, saya tidak ambil kisah.

Saya fokus kerana yakin jika berlatih dengan baik, kejayaan boleh diraih dan saya sendiri berpuas hati dapat memberikan pingat emas kedua buat Kedah,” katanya.

Hafizzudin yang meminati pemain bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar berharap dapat meneruskan karier sukan sama ada dalam bola sepak atau acara pecut kegemarannya.

“Saya suka bola sepak dan acara pecut 100m ini yang saya sertai sejak usia 10 tahun.
Saya sedikit tidak berpuas hati gagal memperbaiki rekod peribadi terbaik 10.9s dicatat pada Terbuka Pulau Pinang Mac lalu.
Saya yakin prestasi dan kepantasan masa boleh dikurangkan dalam masa beberapa tahun lagi,” katanya.

Ditanya apakah perancangan masa depan dalam sukan, pelajar Tingkatan 5 Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Malik, Alor Setar itu berkata: “Saya mahu fokus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Selepas itu, saya bersedia dan berharap mendapat panggilan Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) untuk cuba mencari tempat dalam kem pelapis kebangsaan.

“Saya mahu beraksi pada Sukan SEA dan sudah bersedia membuat persiapan mencapai matlamat itu.

Kejayaan pada peringkat MSSM hari ini (semalam) membuatkan ibu bapa gembira kerana mereka menyaksikan saya menang di tempat sendiri.” Willy Gew Teng Yon dari Selangor meraih pingat emas acara 100m L15 (11.19s) sementara Haziq Haiqal Mohd Yaki dari Terengganu menang acara L12 dengan masa 12.28s.

Dalam acara pecut 100m wanita, pelari Perak, Koan Wan Yi memenangi pingat emas acara P18 dengan merakam masa 12.22s sementara Azreen Nabila Alias dari Terengganu mengungguli acara 100m P15 dalam masa 12.53s dan Nor Aliyah Abdul Rahman dari Johor membawa pulang pingat emas acara 100m P12 (13.1s).

Satu lagi pingat emas Kedah diraih Teoh Kim Chyi dalam acara 800m P18 dengan masa 2:19.16s.