myMetro | Devin, Grace atlet terbaik MSSM

myMetro | Devin, Grace atlet terbaik MSSM.

Alor Setar: Devin Roy Vincent dan Grace Wong dinobat Olahragawan Terbaik dan Olahragawati Terbaik Keseluruhan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM ke-56 2014 yang melabuhkan tirai di Stadium Darulaman, Alor Setar, semalam.

Devin yang mengakui kecewa dalam saingan L15 acara 800m sekadar meraih pingat perak, bangkit merakam dua rekod baru kejohanan (RBK).

Pelari kelahiran Seremban itu mencatat masa meyakinkan apabila meninggalkan jauh pencabarnya ketika merakam 4:12.48s dalam acara 1,500m dan tiba di garis penamat acara 2,000m lari berhalangan, 6:18.57s.

“Saya cuba menyapu bersih semua kategori, tapi hanya dua emas dapat disumbangkan.

FotoGRACE (kiri) dan Devin dinobat Olahragawan dan Olahragawati MSSM 2014, semalam.

Ini pencapaian terbaik saya selepas berputih mata apabila sekadar menduduki tempat kelima keseluruhan 2,000m lari berhalangan di Pahang tahun lalu.
“Latihan konsisten dan tidak cepat tawar hati menjadi formula terbaik.

Saya mendapat inspirasi daripada dua abang pelari jarak pertengahan yang sentiasa memberi semangat supaya tidak cepat mengalah,” katanya.

Vincent, pelajar Sekolah Menengah Bukit Mewah, Seremban muncul juara merentas desa MSSM L15 pada Mac lalu sebelum bersaing di Kedah.

Grace, atlet pemalu dan pendiam bersaing dalam kategori P15, meraih tiga emas dengan merakam dua RBK menerusi acara lempar cakera dengan catatan 37.38m dan baling tukul besi (50.66m) selain menang lontar peluru (12.80m).

Pelajar dari Sarikei itu bangga dapat menyumbang tiga emas buat Sarawak dan membantu kontinjen negeri itu muncul juara keseluruhan dengan membawa pulang 17 pingat emas, 8 perak dan 13 gangsa dengan keseluruhan 38 pingat.

“Saya memang serius datang ke sini untuk mencatat rekod baru, memenangi emas dan menjadi atlet terbaik.

Dengan komitmen serta sokongan rakan dan guru, kejohanan ini sangat bermakna sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) di Perlis hujung bulan ini.

“Bergelar juara kali kelima keseluruhan berturut-turut dan menjadi sebahagian pasukan ini begitu bermakna buat saya,” katanya.

Kejayaan itu lebih manis apabila Sarawak dinobat juara keseluruhan MSSM 2014 untuk membawa pulang Piala Juara Tun Abdul Razak.

Selangor kedua dengan 13-12-7.