MOM buat Karim naik angin – Sukan – Utusan Online

ZAZALI JAMIAN | 21 Januari 2015 12:42 AM
KUALA LUMPUR – Presiden Ke­satuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim ‘naik angin’ apabila mengetahui Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berhasrat untuk mengekalkan nama Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang, Mei hadapan.

Tambah menaikkan kemarahan Karim apabila MOM, dalam jawapannya kepada surat tujuk sebab yang diberikan KOM sebelum ini, memberitahu badan sukan negara itu tidak perlu mendapatkan persetujuan KOM untuk menganjurkan larian berkenaan. Surat tersebut diterima semalam.

Kata Karim, pihaknya tidak teragak-agak untuk melaporkan perkara tersebut kepada Majlis Olim­pik Antarabangsa (IOC), selain mengambil tindakan undang-undang terhadap MOM.
Advertisement

“Saya tidak faham mengapa mereka mahu terus mencari masalah dengan kami. Sebelum ini perkara tersebut hampir selesai apabila Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar memberitahu akan menukar nama larian itu, tetapi sekarang Naib Presiden­nya, Datuk Danyal (Balagopal Abdullah) pula memandai-mandai mahu mengekalkan namanya.

“Dia (Danyal) beri alasan mahu mengumpul dana bagi membantu persatuan sukan lain tetapi adakah wajar dilakukan dengan mencuri hak kami sebagai badan induk sukan olahraga. Saya fikir dia sengaja mahu membuli kami.

“Saya hormat dengan kepimpinan Tunku Imran, namun jika beliau tidak dapat menangani perkara ini dengan baik maka KOM bersedia untuk mengambil tindakan tegas dan kami juga akan membincangkannya dalam mesyuarat majlis pada bulan depan,” kata Karim kepada Utusan Malaysia di Pejabat KOM di sini semalam.

Kelmarin, Danyal memberitahu MOM mungkin mengekalkan nama MIM jika tidak mendapat bantahan daripada Ahli Majlis MOM.
Advertisement

Kata Danyal, pihaknya telah mengkaji secara terperinci berhubung penggunaan nama tersebut dan mendapati tidak timbul masalah andai mereka terus menggunakan nama MIM, selain tidak perlu mendapatkan persetujuan KOM.
– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/mom-buat-karim-naik-angin-1.50297#sthash.mhvK2vhB.dpuf