MIM berkubur sebelum mula – Utusan Online

KUALA LUMPUR – Isu Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) akhirnya ditamatkan dengan keputusan mengejutkan apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pembatalan penganjuran acara itu, yang sepatutnya berlangsung pada 23 dan 24 Mei ini di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

Presiden MOM, Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar berkata, ke­putusan tersebut dibuat kerana pi­haknya mahu memberikan tum­puan kepada perkara lebih pen­ting terutama Sukan SEA yang akan berlangsung Jun ini di Singapura serta pemilihan ke­pimpinan baharu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Ogos ini.

Tunku Imran turut membe­ritahu, pihaknya akan meneliti semula segala isu berkaitan penganjuran tersebut sebelum membuat keputusan untuk menganjurkannya semula pada masa akan datang.

“Buat masa ini kami memutuskan tiada larian MIM dianjurkan pada pertengahan tahun ini ke­rana pada tahun ini banyak kejohanan dan temasya yang lebih penting buat negara dan semua itu harus diberikan keutamaan.

“Malah keputusan untuk menganjurkan semula larian tersebut terpulang kepada pe­ngurusan baharu MOM yang akan dipilih dalam AGM Ogos ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Eksekutif MOM di sini, semalam.

Kronologi isu MIM bermula pada awal bulan lepas apabila Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Karim Ibrahim mendakwa penganjuran acara tersebut sebagai tidak sah kerana tidak mendapat persetujuan mereka selaku badan induk olahraga tempatan.

Isu tersebut bertambah panas apabila Naib Presiden MOM, Datuk Danyal Balagopal Abdullah menegaskan mereka tidak perlu mendapatkan persetujuan KOM jika mahu menganjurkan larian tersebut kerana telah mendapat sokongan Persatuan Olahraga A­matur Negeri Pulau Pinang.

Konflik tersebut nampak menghampiri penyelesaian apabila Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihatkan kedua-dua pihak agar menyelesaikan perkara berkenaan dengan baik dan disambut dengan tangan terbuka oleh MOM apabila bersetuju untuk menukar nama MIM bagi mengelak daripada kesulitan.

Bagaimanapun, semuanya hanya tenang buat sementara sebelum Danyal dilaporkan tetap dengan pendirian mahu meneruskan penganjuran dengan nama MIM yang turut mendatangkan kemarahan KOM dan penamatnya MOM sendiri mengumumkan acara itu dibatalkan semalam.

ZAZALI JAMIAN

– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/mim-berkubur-sebelum-mula-1.58264#sthash.Q06tmp8S.dpuf