PUTRAJAYA – Tindakan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengekalkan nama Maraton Antarabangsa Malaysia (MIM) mengundang persoalan daripada pelbagai pihak.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, beliau hairan dengan pusingan U yang dilakukan MOM untuk menggunakan semula nama MIM secara rasmi meskipun ditentang hebat Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia, Datuk Karim Ibrahim.
“Setahu saya mereka (MOM) sudah dijelaskan bahawa tidak boleh menamakan kejohanan tersebut seperti itu.
“Bagaimanapun saya berasa hairan kenapa MOM mahu menggunakannya semula.
“Sebelum ini dalam mesyuarat terdahulu berhubung isu berkenaan MOM sudah bersetuju untuk tidak menggunakan nama kejohanan tersebut tetapi secara tiba-tiba mereka mengubah fikiran.
“Saya berharap mereka dapat menggunakan nama lain seperti yang dicadangkan oleh Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja’afar (Presiden MOM) bagi mengelakkan masalah.
“Esok (hari ini) saya akan bertemu Datuk Danyal Balagopal Abdullah (Naib Presiden MOM) secara peribadi untuk membincangkan isu ini kerana saya tidak mahu ia terus berlarutan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan laluan rasmi Le Tour de Langkawi (LTdL) 2015 di sini semalam.
MOM akhirnya akur untuk tidak meneruskan kontroversi apabila mengambil keputusan mengubah nama MIM kepada yang lain tanpa melibatkan perkataan ‘Antarabangsa’ dan ‘Malaysia’.
Bagaimanapun semalam, Danyal mengesahkan MOM akan terus menggunakan nama MIM kerana menganggap perkara tersebut tidak melanggar sebarang peraturan, malah tiada keperluan untuk perubahan dilakukan.
Pusingan U yang dilakukan itu mengundang kemaran Presiden KOM, Datuk Karim Ibrahim, malah beliau tidak teragak-agak memanjangkan perkara tersebut kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).
MIM yang dijadual berlangsung di Pulau Pinang pada 23 dan 24 Mei dianjurkan untuk mengumpul dana bagi disalurkan kepada persatuan sukan.
– See more at: http://www.utusan.com.my/sukan/maraton-antarabangsa-malaysia-kekal-nama-1.50818#sthash.NP5mRGTm.dpuf