Lebih 1,000 Atlet Sertai Kejohanan MSSM Ke-56 Di Alor Setar

BERNAMA – Lebih 1,000 Atlet Sertai Kejohanan MSSM Ke-56 Di Alor Setar.

ALOR SETAR, 29 April (Bernama) — Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) kali ke-56 yang akan berlangsung dari 2 hingga 7 Mei di Stadium Darulaman di sini menarik penyertaan 1,108 atlet dari seluruh negara.

Timbalan Pengarah Pendidikan Kedah Rosslee Ismail berkata kejohanan tahunan itu menawarkan 101 pingat emas yang akan direbut oleh 16 kontinjen termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Pada tahun ini, Kedah diberi kepercayaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menjadi tuan rumah bagi MSSM kali ke-56 dan sebanyak 96 acara sukan akan dipertandingkan bagi merebut 303 pingat keseluruhan sepanjang enam hari kejohanan berlangsung.

“Majlis perasmian pembukaan akan berlangsung pada 8 malam, Jumaat ini di Stadium Darulaman manakala majlis penutup pada 4 petang, 7 Mei di venue sama,” katanya kepada pemberita di Jabatan Pendidikan Kedah di sini hari ini.

Rosslee berkata identiti Helang yang sinonim dengan Kedah telah dipilih sebagai maskot untuk kejohanan.

Katanya semua persiapan untuk kejohanan MSSM ini sudah 80 peratus siap dan semuanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah.

Dalam kejohanan kali ke-55 di Kuantan tahun lepas, kontinjen Sarawak dinobatkan sebagai juara selepas berjaya memungut 18 pingat emas manakala Kedah hanya mampu berada di tempat ke-10 dengan pungutan dua pingat emas.

Sementara itu, Rosslee berkata Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Kebangsaan 1Malaysia 2014 juga akan diadakan di Stadium Darulaman pada 18 hingga 22 Mei yang melibatkan seramai 770 atlet dari seluruh negara.

— BERNAMA