KOM masih tunggu kebenaran ke Kazakhstan

a man looking at the camera: Presiden KOM, Datuk SM Muthu.

[email protected]

KUALA LUMPUR: Belum ada kepastian sama ada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) akan menghantar 11 atlet ke Kejohanan Olahraga Qosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan dari 19 hingga 20 Jun ini.

Presidennya, Datuk SM Muthu berkata, pihak KOM sedang menunggu ‘lampu hijau’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) serta Institut Sukan Negara (ISN) susulan kes peningkatan COVID-19 yang berada dalam trend peningkatan di seluruh dunia.

“Kita tunggu kebenaran daripada KBS dan MSN,” kata Muthu. “Diharap tak ada apa-apa masalah. Kalau tak jadi, mungkin perlu ditangguh lagi.”

Sebelum ini, KOM mengumumkan untuk menghantar 11 atlet beraksi di kejohanan berkenaan sebagai memberi peluang kepada atlet utama memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan SEA Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes COVID-19.

Seandainya menerima kebenaran yang dijangka diketahui seminggu lagi, cabaran skuad olahraga di Almaty akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei selain Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera), Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut akan menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

“Kita sudah menghantar senarai nama untuk beraksi di sana. Apapun, kita akan menunggu (kebenaran). Kalau semuanya OK, dapat kebenaran daripada KBS, MSN dan ISN… tentunya kita akan menghantar atlet ke sana.

“Sekiranya mereka putuskan untuk menjaga keselamatan atlet, kita akan terus mengikut arahan diberikan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Source: KOM masih tunggu kebenaran ke Kazakhstan

Scroll to Top