Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail berkata, persetujuan tersebut dicapai menerusi mesyuarat Jawatankuasa Kerja antara pihaknya dengan KOM yang berlangsung kelmarin.

Tambah Ahmad Shapawi, pihaknya akan berunding dengan Kipsang berhubung tawaran gaji, penempatan dan lain-lain dalam masa terdekat ini.

“Persetujuan dibuat dengan harapan jurulatih tersebut dapat berkongsi ilmunya dengan jurulatih tempatan dalam masa sama membantu meningkatkan prestasi atlet jarak jauh dan sederhana negara terutama untuk Program Kita Juara.

“Buat masa ini saya tidak boleh beritahu bila Kipsang Rono akan berada di sini namun kami akan cuba untuk mendapatkannya secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kipsang Rono adalah jurulatih yang berpengaruh di Ke­nya dan pernah menggalas tugas-tugas penting dalam olahraga Kenya selain membim­bing beberapa jaguh jarak jauh negara itu seperti juara dunia 2009, Linet Masai dan pemenang pi­ngat gangsa Sukan Olimpik Beijing 2010, Micah Kogo.

Sementara itu, ditanya berhubung status seorang lagi jurulatih yang diminta KOM sebelum ini iaitu Leo Almando Brown dari Jamaica untuk acara pecut, Ahmad Shapawi berkata, kata sepakat telah diperolehi bahawa mereka tidak akan mendapatkan khidmat jurulatih tersebut.
Kata Ahmad Shapawi, kedua pihak telah bersetuju untuk mendapatkan jurulatih asing yang lain berikutan perlu mengalas tugas penting selaku Pengarah Teknikal.

“Keputusan ini iaitu untuk tidak mendapatkan Almando Brown di buat menerusi persetujuan bersama dan pencarian akan diteruskan,” jelas Ahmad Shapawi lagi.