Hup Wei kemuka rayuan | Berita Harian

KUALA LUMPUR: Jaguh lompat tinggi negara Lee Hup Wei sudah menghantar surat rayuan kepada Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), supaya beliau diiringi jurulatihnya, Alexander Gasparyan ke Sukan Olimpik Tokyo.

Atlet berusia 34 tahun yang dijangka membuat penampilan ketiga di Olimpik berharap, badan induk olahraga negara itu mengambil keputusan yang baik, mengenai rayuan yang telah dihantar pada Rabu.

“Kalau Kejohanan Dunia, jurulatih ikut, pengurus pasukan tak ikut. Sebab itu saya minta jurulatih ikut ke Olimpik. Kalau saya ada buat kesilapan, dalam teknik di sana beliau boleh terus betulkan saya punya teknik.

“Kalau pengurus pasukan yang pergi, beliau tidak tahu saya punya latihan, lompatan dan sebagainya, yang beliau tidak faham,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

KOM sebelum ini menerima kritikan kerana mahu menghantar pegawai daripada persatuan negeri berbanding jurulatihnya, untuk temasya sukan terbesar dunia itu.

Hup Wei yang juga juara Asia 2007 dan pemenang pingat emas Sukan SEA tiga kali adalah atlet olahraga terbaik Malaysia dalam ranking Olahraga Dunia, yang dikemas kini pada 31 Mei.

Hup Wei yang bertanding di Olimpik Beijing 2008 dan London 2012, di kedudukan ke-20 dengan 1,235 mata, manakala Nauraj Singh Randhawa yang memenangi pingat emas pada Kejohanan Tatabanya Siri Grand Prix (GP) pada Ahad lalu, di tempat ke-60 dengan 1,145 mata.

– BERNAMA

Source: Hup Wei kemuka rayuan | Berita Harian

Scroll to Top