BERNAMA – Kuartet Wanita Terengganu Padam Rekod Kejohanan Berusia 24 Tahun

BERNAMA – Kuartet Wanita Terengganu Padam Rekod Kejohanan Berusia 24 Tahun.

KANGAR, 1 Jun (Bernama) — Kuartet wanita Terengganu sekali lagi membuat kejutan pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-17 apabila memadam rekod kejohanan 4x400m berusia 24 tahun dalam acara olahraga di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini hari Ahad.

Kuartet – Azreen Nabila Alias, Siti Nur Afiqah Abdul Razak, Nur Farahana Musa dan Nur Shahira Muliadi – cemerlang dengan rekod baharu, tiga minit 49.45 saat iaitu memperbaharui catatan masa 3:52.42s yang dilakukan oleh kuartet Pulau Pinang pada edisi ketiga Sukma 1990 di Sarawak.

Pingat perak acara tersebut diraih oleh pasukan Perak dengan catatan masa 3:56.86s manakala pingat gangsa menjadi milik pasukan Johor dengan 3:58.32s.

Siti Nur Afiqah berkata semangat sepasukan membantu kuartet Terengganu meraih dua pingat emas dan memecah rekod kejohanan pada Sukma kali ini.

“Kami adalah gandingan baharu dan hanya sempat berlatih seminggu sahaja, dalam latihan kami selalu mencuba berlari satu pusingan bawah 60 saat setiap seorang.

“Bagi saya dan rakan-rakan yang pertama kali menyertai Sukma kali ini memang sangat berpuas hati dengan pencapaian dua pingat emas (4x100m dan 4x400m),” kata Siti Nur Afiqah.

Siti Nur Afiqah, 16, juga pernah mewakili negara pada Sukan SEA Myanmar tahun lepas bagi acara 4x400m.

“Saya memang bercita-cita untuk menjadi atlet negara yang berjaya, pada bulan Julai nanti saya akan memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil jadi saya akan menggunakan peluang yang diberikan untuk lebih berjaya dalam olahraga,” katanya.

Kuartet Terengganu itu juga turut memperbaharui rekod temasya bagi acara 4x100m, semalam.