BERNAMA – 15,000 Peserta Dijangka Sertai Larian Malam Energizer 2014

BERNAMA – 15,000 Peserta Dijangka Sertai Larian Malam Energizer 2014.

PETALING JAYA, 22 Mei (Bernama) — Sebanyak 15,000 peserta dijangka menyertai acara Larian Malam Energizer 2014 di Dataran Merdeka di ibu negara pada 9 Ogos ini, kata penganjur Energizer Malaysia Sdn Bhd (Energizer) hari ini.

Pengarah Urusannya Mike Foong berkata beliau yakin dapat mencapai sasaran tersebut selepas pihaknya telah melakukan beberapa penambahbaikan teknikal berhubung acara larian itu.

“Biarpun 10,000 peserta menyertai larian edisi 2011 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) tetapi kami menerima banyak aduan mengenai kelemahan acara itu.

“Berikutan penambahbaikan dibuat selepas maklum balas itu, saya yakin larian pada tahun ini dapat mencapai sasaran 15,000 peserta,” katanya kepada pemberita Khamis, selepas melancarkan acara itu di sini.

Larian dengan slogan ‘Race For A Brighter World’ akan menampilkan dua kategori iaitu larian 15km dan larian ria 5km. Yuran pendaftaran bagi larian 15km ialah RM60 dan RM50 untuk larian ria 5km.

Tiga peserta terbaik acara larian 15km akan menerima hadiah wang tunai antara RM800 dan RM1,500.

Larian itu mendapat pengiktirafan Persatuan Olahraga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (FTKLAA).

Pendaftaran atas talian sehingga 8 Julai ini boleh dilakukan dengan melayari www.energizer.com.my/nightrace.

Maklumat lanjut juga boleh didapati menerusi laman facebook di www.facebook.com/EnergizerMY.

— BERNAMA