[email protected]

Kuala Lumpur: Kejohanan Olahraga Kosanov Memorial di Almaty, Kazakhstan, yang berlangsung minggu depan boleh dikatakan ‘talian hayat’ terakhir kepada 11 atlet untuk merebut slot ke temasya Olimpik Tokyo.

Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk SM Muthu berkata, atlet berkenaan akan berlepas ke Kazakhstan minggu ini selepas mendapat lampu hijau daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, atlet yang beraksi di Kazakhstan dilihat mampu melakukan kejutan dengan sekurang-kurangnya mencipta rekod baharu sekali gus melayakkan mereka menempah tiket ke Sukan Olimpik kelak.

“Minggu ini semua atlet berkenaan berlepas ke Kazakhstan dan akan menggalas cabaran negara untuk mengharumkan nama Malaysia. Setakat ini, atlet lempar cakera Muhammad Irfan Shamsuddin tidak menyertai kejohanan terbabit kerana dia mengalami kecederaan.

“Semua atlet berkenaan sudah menjalani persiapan di Majlis Sukan Negara (MSN) dan berharap beraksi cemerlang walaupun lebih setahun tidak menyertai sebarang pertandingan kompetitif,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Sebelum ini, KOM mengumumkan untuk menghantar 11 atlet beraksi di kejohanan berkenaan sebagai memberi peluang kepada mereka memburu tiket ke Sukan Olimpik Tokyo dan Sukan Sea Hanoi selepas saingan Terbuka Malaysia yang dijadual berlangsung 11 hingga 13 Jun terpaksa ditunda susulan peningkatan kes Covid-19.

Cabaran skuad olahraga di Almaty akan diketuai jaguh lompat tinggi negara, Lee Hup Wei, Andre Anura Anuar (lompat jauh), Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Haiqal Hanafi dan Jonathan Nyepa (100 meter lelaki).

Seorang lagi atlet pecut, Khairul Hafiz Jantan turut akan menyertai kejohanan berkenaan tetapi beraksi dalam acara 200m selain Rayzam Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Connie Chu Kang Ni (lempar cakera) dan Yap Sean Yee (lompat tinggi).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top