Kuala Lumpur: Tahun pertama yang penuh dengan pengalaman buat pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi.
Meniti kehidupan baru di Amerika Syarikat, Azeem sedar masih banyak perkara yang perlu dipelajarinya dan bersyukur dengan peluang yang diberikan kepadanya apabila dapat meneruskan kerjaya di Universiti Auburn, Amerika Syarikat.
Dia yang memegang rekod 100m dengan catatan 10.09 saat (s) di Kejohanan Olahraga Remaja Dunia yang berlangsung di Colombia tahun lalu berkata, perjalanannya masih panjang ke hadapan dan tidak tahu apa yang bakal terjadi dan berserah kepada ketentuan tuhan.
Atlet kelahiran Perak itu baru-baru ini turut mengalami kecederaan ketika beraksi di peringkat suku akhir 100m di kejohanan Persatuan Olahraga Kolej-Kolej Nasional (NCAA) di Florida minggu lalu.
Mujur kecederaan pangkal peha itu tidak serius dan dia merekodkan 10.04 s pada saringan ketiga suku akhir di Florida mengatasi rekod kebangsaan miliknya namun ia tidak diiktiraf selepas menerima bantuan angin +5.5s.
“Pengalaman tahun pertama saya di kolej adalah satu pengalaman yang tidak akan pernah saya lupakan.
“Saya tidak pernah menyangka akan berada di peringkat ini. Kalah dan kecederaan memang menyakitkan, tetapi itu adalah sebahagian daripada perlumbaan dan saya telah belajar banyak perkara. Jika tiada perjuangan, tiadalah kemajuan,” katanya dalam hantaran di Instagramnya.
Penuntut Universiti Auburn itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa berada di belakangnya sepanjang perjalanan dirinya bergelar atlet.
Pemegang rekod kebangsaan 400m negara, Umar Osman turut meninggalkan komen di hantaran itu dengan menyatakan dia berbangga dengan Azeem dan juga mengucapkan tahniah atas pencapaiannya.
Azeem seterusnya dijangka akan menyertai perlumbaan di Kejohanan Olahraga Asia yang dijadualkan berlangsung di Bangkok, Thailand pada Julai ini dan beberapa lagi kejohanan besar seperti Sukan Asia di Hangzhou, China pada September.
Source: Azeem akui perjalanan kariernya masih pajang | Harian Metro